Tuesday, December 18, 2012

HIJRAHKU DI USIA 21

Salam seisi alam.. mudah-mudahan kalian di bawah lindungan rahmatnya...

Satu topik yang sangat menarik kali ini untuk dikongsi bersama.

"HIJRAH"

Hijrah. Apa yang terlintas di fikiran apabila perkataan hijrah diperkatakan. Ia membawa maksud satu perubahan dari suatu keadaan kepada suatu keadaan yang lebih baik. Niat untuk berhijrah sudah lama tersemat di hati. Cemburu rasanya bila mana mata terpandang pada rakan-rakan atau sesiapa sahaja yang mampu menghijrahkan diri ke jalan yang terbaik, menjaga tutur kata, pemakaian, dan menjaga pemandangan mereka. Indah melihat suasana itu. Niat yang tersemat di hati masih juga belum mampu dilaksanakan tatkala usia diri menginjak 20 tahun. Aku tidak mahu hijrahku nanti sia-sia di pertengahan jalan. Apa yang aku inginkan adalah penghijrahan yang berkekalan selamanya dan terus menjadi budaya hidup dan menjadi darah daging yang sebati dalam diri.

Ramai sudah yang aku temui terutama dalam kalangan rakan-rakan bagaimana mereka mampu merubah diri menjadi lebih baik. Pelbagai pengalaman dikongsikan. Semua yang diceritakan aku simpan dan semat kukuh dalam hati untuk dijadikan panduan. Ada juga sumber jadi internet berkenaan pengalaman masing-masing merubah diri ke jalan yang lebih diredhai. Pencarian masih lagi berterusan sehingga sekarang supaya jiwaku rasa lebih kuat untuk mengikut jejak langkah mereka.

Dipendekkan cerita, suami pernah menyuarakan kehendaknya supaya aku tidak lagi mengenakan seluar jeans dan berbaju t-shirt di khalayak ramai. Pakaian sebegini sudah biasa dalam kalangan masyarakat. Aku sendiri sudah terbiasa dengan pemakaian sebegitu. Untuk berubah mendadak memang tidak. Agak sukar untuk aku lakukan. Namun aku bersyukur atas nasihatnya. Berkali-kali aku memikirkan niatku. Tapi aku  takut jika niat baikku nanti dicemuh dan dikatakan ingin menunjuk-nunjuk. Sehinggalah selepas nasihat itu terbit dari mulut insan yang aku sayangi maka aku mencuba membeli sehelai jubah berwarna merah maroon. Inilah kali pertama dan yang pertama-tama sekali aku membelanjakan diri membeli jubah untuk aku pakai. Buat pertama kalinya aku memakai ke kenduri kahwin jiran. Tudung biasa aku gayakan bukan berbidang besar. Tidak ada rasa yang berbeza tetapi sedikit ketenangan yang aku rasakan. Mak juga menyatakan sokongannya padaku agaar melakukannya sedikit demi sedikit dan tidak terlalu mendadak supaya kesannya akan terus kekal.

Kedua kalinya, 17 Disember, selepas 4 hari aku menginjak usia 21 tahun. Di pagi hari sebelum ke kelas. Jiwa aku rasakan ingin sekali mengenakan jubah yang aku beli tempoh hari. Aku terasa tak nak memakai kerana terlalu banayk kuliah dari 10 pagi hinggalah 10 malam. Satu masa yang cukup lama. Bisikan aku dalam hati pakai pakaian biasa-biasa sahaja sudah. Lebih mudah. Tapi hati ini cukup kuat nak mencapai jubah tersebut untuk aku sarungkan di badan. Ya Allah kenapalah hati ni begitu kuat. Akhirnya selesai membersihkan diri, terus aku mencapainya dan seterika. memilih-milih tudung yang sesuai untuk digayakan bersama. Ya! Di saat aku menyarungkan jubah tersebut hatiku terus berniat jika inilah yang waktunya untuk aku terus tetap di jalan-Mu, maka tunjukkan padaku kebesaran-Mu agar aku terus istiqamah dalam melaksanakannya. Aku terus bersiap dan bersiap. Tika terpandang wajah di cermin, syahdunya dalam hati Allah sahaja yang tahu. Walaupun sebelum ini setiap hari memandang cermin untuk mengenakan tudung tetapi hari tersebut cukup berbeza sekali. Satu perasaan yang sukar diungkapkan. Aku dapat rasakan ketenangan yang selama ini aku rindukan. Yang aku cari dalam setiap langkahku. Mungkin kerana banyak dosa dan kemungkaran telah aku lakukan sehingga hati terasa sangat sukar merasai perasaan tenang dan lapang dada. Syukur untuk kali ini, Allah membuka satu pintu kebaikannya untukku. Alhamdulilah. Kaki terus melangkah menuju dewan kuliah. 

Satu kuliah daripada seorang pensyarah yang amat aku hormati, Dr Nor Hayati, pensyarah subjek pembangunan kurikulum. Setiap kali mengikuti kuliahnya pelbagai nasihat dan pesanan yang amat terkesan di jiwa. Antaranya "jika kita ingin mendidik orang lain ke arah kebaikan, didiklah diri terlebih dahulu.""Gunakalah kebenaran ilmu dalam melakukan sesuatu dan tidak melakukan sesuatu sembarangan ikut kata hati."" Manusia ada 4 elemen dalam dirinya iaitu akal, hati, nafsu dan iman. Hanya iman yang kuat dapat menunjukkan nafsu". Pelbagai lagi kata-kata yang cukup meruntun hati. Dari situ aku memperoleh kekuatan. 

Selalunya kemalasan amat beraja di hati. Namun pada hari itu, aku berasa cukup bersemangat, tidak mengantuk di kelas, dan paling aku tidak menyangkakan aku peroleh kembali keberanian, kekuatan untuk bersuara dengan yakin dan tenang dihadapan ramai. Bila sahaja aku melangkah ke mana-mana sahaja, hati aka terdetik untuk menjaga mata, tingkah laku, percakapan dan sebagainya. Subhanallah. Aku jarang sekali berperasaan begini. Benarlah apa yang pernah dirasai oleh orang lain. Daripada pemakaian ia mampu mendidik hati. Namun, satu perkara yang paling aku takuti adalah mampukah diri ini untuk terus ikhlas dan istiqamah dalam melaksanakan tindakan ini. Ya Allah kurniakan kekuatan padaku untuk terus berjihad di jalan-Mu dan kurniakan kekuatan untukku melepasi rintangan demi rintangan kerana aku tahu untuk tegak di jalan-Mu pelbagai ujian yang akan datang menguji sejauh mana kesabaran diri. Amin.

Doakanlah diriku berjaya menangani ujian demi ujian. Semoga segala yang mengganggu gugat jalanku dapat ku tepis dengan bekalan iman yang masih bersisa. Sekadar perkongsian bersama. Yang baik dijadikan panduan. Yang buruk dijadikan sempadan.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Jom Tengok!