Thursday, December 05, 2013

Sekali Air BAH.. Segala-galanya berubah..

Sewaktu menukilkan post ini, aku baru sahaja mengikuti perkembangan banjir yang berlaku di negeri Pantai Timur terutamanya Kelantan, Terengganu dan sekitar Kuantan yang dilanda banjir teruk di kawasan berkenaan. Tak disangka-sangka Kuantan boleh dinaiki air sebegitu rupa sedangkan sebelum ini tiada berita mengenai banjir yang dilaporkan pernah terjadi seperti mana sekarang. Apabila melihat kepingan-kepingan foto yang dimuat turun dalam pelbagai laman sosial, surat khabar, blog dan di mana-mana saja pasti akan terbit perasaan simpati dan berdukacita kepada mereka yang ditimpa musibah.
 
Bayangkan hanya beberapa jam sahaja segala perkakas yang dibeli ribuan ringgit boleh tenggelam dalam arus air yang memasuki kawasan rumah termasuklah perkakas elektrik, perabot dan kenderaan pastinya rosak teruk. Itu belum perkara lain. Hal nak bersihkan rumah berlumpur. Memang penat berhadapan dengan keadaan begini. Saya sendiri kerap mengalami suasana ini semasa berada di semasa berada di sekolah menengah dahulu. Sekolah yang terletak di bawah kawasan berbukit memang mudah dinaiki air sehingga lumpur yang menyaluti lantai boleh mencapai 2 inci jika banjir yang berlaku begitu teruk sekali. 

Di saat inilah timbul perasaan simpati dan huluran bantuan ikhlas daripada orang ramai untuk membantu mangsa banjir. Keperluan harian seperti selimut, makanan, pakaian, minuman dan sebagainya amat diperlukan untuk kelangsungan hidup. Mujur rakyat Malaysia ramai yang bermurah hati menyumbang apa sahaja yang mereka mampu mengikut kemampuan masing-masing. Tak lupa ada yang menunaikan solat hajat dan berdoa beramai-ramai agar musibah yang diturunkan ini beransur reda.

Bagi orang yang berfikir mesti terlintas di benak fikiran bahawa setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah yang ingin Allah tunjukkan atau sebagai peringatan kepada hamba-hambanya. Justeru bagi yang tidak merasai jerih perih atau kesusahan yang ditanggung oleh mereka janganlah kita rasa terlepas dari diduga oleh ujian yang kita sendiri tidak tahu. Seharusnya kita ambil iktibar atas setiap yang terjadi. Memperbanyakkan istifar dan bertaubat. Mungkin kerana tangan manusia melakukan pelbagai perkara dilarang membuatkan DIA murka dan menurunkan musibah sedemikian rupa. 




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Jom Tengok!