Tuesday, November 27, 2012

Mahu berubah atau masih di takuk lama??

Menghadiri satu kuliah atau majlis ilmu yang dikendalikan oleh seorang pensyarah aku yang sangat bertanggungjawab, dan berdedikasi serta kuat agama membuatkan aku sentiasa rasa bermotivasi apabila berada di dalam kelasnya...

Hari ini, beliau berbicara tentang transformasi diri. Pernah tak kita terfikir tentang masyarakat hari ini yang makin meruncing akhlak dan pergaulan sosial mereka??.. Dari mana silapnya.. Janganlah mudah menuding jari ke arah orang lain tetapi apa yang patut dan perlu kita lakukan adalah dengan menganalisis diri sendiri adakah kita berada di landasan yang benar mengikut kehendak syarak atau mungkin kita sedang menuju ke lembah kegelinciran yang membawa kepada kemungkaran...

Bila aku renung semula dalam-dalam ke dalam diri, banyak yang aku kena perbetulkan dalam diri ni. Cemburu rasanya bila melihat kawan-kawan yang berjaya merubah dan membuat transformasi diri untuk bertudung labuh menutup aurat dengan sempurna dan menjaga pergaulan serta pertuturan mereka sebaiknya.  Sejenak aku memikirkan diri aku yang makin banyak tanggungjawab yang perlu dipikul baik sebagai seorang  pelajar di menara gading, seorang isteri kepada seorang suami yg baik hati, penyayang, seorang ibu kepada seorang putera yang comel, anak kepada ibu bapa dan menantu kepada mentua.. dan paling utama hamba kepada-NYA.. Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan dengan sempurna supaya kelak tidak ditanya di akhirat.. Kadangkala sikap acuh tidak acuh yang membuat kita lalai dan leka menunaikan tanggungjawab. Tetapi ada 1 wadah atau landasan yang boleh membawa kita ke arah kebaikan iaitu dengan cara kita berpakaian.

Menutup aurat dengan sempurna amat dituntut dalam Islam. Tetapi sejauh mana cara menutup aurat yang betul itu dilaksanakan perlu diteliti. Aku seperti remaja lain yang biasa berkemeja, tshirt, jeans, kadangkala berbaju kurung, bertudung biasa. Jarang berstokin dan memakai hand silk kecuali dalam keadaan tertentu. Dari dulu aku rasa selesa berpakaian begini tetapi sejak 2 menjak ini, aku tertarik bila mana aku terpandang kawan-kawan yang berpakaian lebih sopan dan menutup mana yang sepatutnya. Tambahan pula apabila suami menyarankan supaya aku bertudung labuh membuatkan hati terasa ingin berubah. Namun, aku sendiri takut dengan bayangan masa hadapan. Takut-takut jika perubahan yang dilakukan hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam dan tidak berkekalan. Aku masih tidak bersedia ke arah itu. Mungkin aku perlukan seseorang yang benar-benar kuat agama boleh membimbing aku dengan sebaiknya. Bimbang jika membawa haluan sendiri akan terpengaruh dengan tipu daya syaitan. Nauzubillah.

Jika ditelusuri dengan mendalam lagi apakah yang membuat diri kita merasa sejahtera. Duit? Harta berjuta? Teman istimewa? Shopping? Bersukaria? atau dengan mendekatkan diri pada-NYA kita lebih sejahtera?... Semua terletak pada hati yang mana untuk kita pilih sehingga kita berasa bahagia. Bagi aku bahagia yang sebenar adalah bila mana aku merasai manisnya iman itu sendiri yang terbit dari hati bila kita bertambah amal yang dilakukan tetapi bila kita terleka sejenak iman akan berkurang, jiwa resah, hilang fokus, tanggungjawab x terlaksana dengan sempurna. Justeru bagaimana nak kembalikan semula bahagia itu tadi??. Satu cara adalah dengan kembali ke pangkal jalan. Kata orang sesat di hujung jalan kembali ke pangkal jalan. Transformsai diri ke arah lebih baik tidak rugi. Moga-moga Allah memberi hidayah dan petunjuk pada diri ini agar terus berada di jalan menuju keredhaannya. Amin.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Jom Tengok!