Sunday, September 23, 2012

Aku rindu ingin memeluknya...

Setiap ibu yang melahirkan mengimpikan anak yang dilahirkan akan sentiasa disisi melayan gelagatnya sepanjang hari. Menjadi sesuatu yang menggembirakan bila mana dapat melihat anak yang dijaga menunjukkan perubahan demi perubahan dari segi tumbesaran dan berkembangnya minda anak. Dari x pandai bercakap sampailah mampu menyebut 'mama', dari berbaring, mula meniarap, mengesot dari meniarap terus merangkak dan akhirnya mampu berjalan jatuh sehinggalah mampu berlari. Sukar dinyatakan perasaan ini bila aku tak mampu nak lalui kenangan ini bersama anak tersayang. Anak sulung harus aku titipkan pada ibuku @ neneknya dek kerana aku terpaksa duduk berjauhan darinya demi menunaikan tanggungjawab sebagai pelajar di salah sebuah universiti tempatan. Perasaan ini terpaksa aku korbankan demi masa depanku dan juga keluarga. Bukan senang untukku hidup berjauhan begini. Anak yang dahulunya ditatang, dicium, dipeluk kini berada jauh dari dakapan ini. Hanya cuti hujung minggu sahaja dapat mengabadikan masa bersama. Di kala inilah aku menghabiskan sepenuhnya masa bersama si kecilku yang amat aku sayangi dan aku rindui tiap waktu. Di hari-hari biasa aku hanya mampu mendengar suaranya di corong telefon, adakala dia tersenyum, adakala dia menangis. Paling meruntun hatiku dia hanya akan tertidur apabila aku melagukan selawat nabi padanya. Saat aku berdiam diri, terus dicelikkan mata meminta aku melagukannya lagi. Aku lagukan sehingga ibu menyatakan si kecilku telah terlena sepenuhnya. Dalam hati berkata 'manja anak mama'. Aku akan sentiasa tersenyum bila mengenangkan anakku yang jauh di mata. Jika dilayan perasaan rindu, pastinya air mata akan mengalir laju. Maka ku berkata dalam hati, 'bersabarlah, Allah mengujimu tika ini, pastinya akan datang saat bahagia untuk kau bersama anak tercinta & suami bersatu di bawah satu bumbung yang sama'. Masing-masing punya tugas. Biarlah aku bersusah dahulu kerana aku pasti kesenangan dan kebahagiaan itu tertulis untuk aku. "Anak mama bersabarlah sayang untuk tempoh beberapa bulan mendatang. Mama dan papa menyayangimu. Semua yang kami lakukan hanya untuk buah hati mama iaitu anak mama. I love u anak mama!!!.. " Semoga anak mama jadi anak yang soleh. Amin.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Jom Tengok!